Manfaat Taklim Rumah, Percakapan Iman Dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi Bersama Anak Isteri


Bagi anda yang sedang buat taklim rumah harian selepas subuh (yakni bacaan hadis harian bersama keluarga), usahakanlah juga buat percakapan iman, percakapn akhirat dan muzakarah 6 sifat sahabat radiallahu'anhum bersama keluarga walaupun sekejap. Agar kita dapat cakap depan isteri dan anak-anak kita tentang kebesaran Allah. Dan mereka juga bertukar-tukar cakap depan kita tentang kebesaran Allah. Supaya mereka biasa dengan percakapan iman. Biasa dengan percakapan akhirat. Itulah percakapan yang benar kerana itulah matlamat sebenar kita.

Dengan asbab kita mulakan hari kita dengan percakapan iman dan percakapan akhirat, maka insyaAllah pagi-pagi hari kita sekeluarga keluar rumah dengan matlamat akhirat. Keluarga kita akan brtambah bahagia kerana bahagia datang dari Allah. Dan Allah akan luaskan rezeki kita dan kurniakan kita juga rezeki yang luar biasa. Ini bagi mereka yang matlamatnya Akhirat. Kesannya juga insyaAllah sepanjang satu hari itu kita cakap percakapan iman sahaja. Cakap percakapan akhirat sahaja. Kita akan cakap yang manfaat sahaja. Jumpa kawan pun akan cakap yang meningkatkan iman sahaja. Bila nampak orang saja, Allah akan datangkan kita fikir bagaimana nak bawa dia bersama keluar jalan Allah.

Tetapi bila percakapan iman dan akhirat tidak dibuat di rumah setiap pagi, maka khuatir nanti kita, isteri dan anak-anak keluar rumah pagi ini dengan bawa matlamat dunia sebagai matlamat utama. Orang yang hidupnya matlamat dunia dan jadikan dunia sebagai kerisauan utama dalam dirinya maka dalam maksud hadis disebut; "Allah akan sempitkan hidupnya dan kemiskinan terbayang-bayang di matanya iaitu dia selalu fikir dia akan hidup susah, fikir hutang itu tak selesai, fikir hutang ini tak selesai, fikir masalah ada sana-sini, depan belakang, seakan-akan dia yang selesaikan semuanya.

Sebenarnya Allah yang sempitkan hidupnya dan bayangkan kesusahan itu sebab banyak sangat dia fikir dunia. Akibat dari jadikan dunia sebagai kerisauan utama. Akibat tak buat percakapan iman di rumah pagi-pagi bersama keluarga kesannya juga ialah sepanjang hari itu kita akan cakap dunia sahaja. Keluarga kita akan keluar rumah dengan bawa matlamat dunia sebagai utama. Akhirnya jumpa kawan saja kita akan cakap dunia. Kemudian akan masuk pula percakapan yang merapu. Kita akan cakap yang lagha. Sedangkan ini bukan percakapan mukmin. Ini kesan dari tak mulakan hari dengan percakapan iman.

Jadi kita semua azam pagi ini. Abang-abang yang baru balik dari masjid solat subuh berjemaah, kumpul isteri dan anak-anak, buat taklim rumah. Selepas itu buat percakapan iman dan muzakarah 6 sifat sahabat. Kemudian buat mesyuarat harian ringkas, karguzari (beri laporan) apa yang dibuat semalam. Tanya isteri dan anak-anak juga karguzari apa yang mereka buat semalam secara ringkas. Kemudian bentangkan apa yang nak dibuat hari ini. Gula ke sayur ke habis masukkan sekali dalam mesyuarat. Binncang nak masak apa, nk beli apa pun cerita dalam mesyuarat, agar perbelanjaan dapat dikawal.

Tanya isteri dan anak-anak tentang azam mereka hari ini nak baca al-Quran berapa muka. Semalam solat awal waktu tak? Puasa Ramadhan yang haid, sudah mula ganti ke? Sama-sama ingat-mengingati. Kalau kita buat gash dakwah semalam jumpa siapa maka cerita dalam mesyuarat. Siapa yang kita sedang taskel dan apa saja takaza, jemaah-jemaah yang sedang bergerak dekat di tempatan kita maka cerita depan isteri dan anak-anak. Agar mereka juga tahu dan sama-sama risau dan sama-sama doakan dalam tahjud mereka. Dalam doa mereka selepas solat fardhu. InsyaAllah, kita azam amal.

Kitab taklim - Fadilat Amal karangan Syaikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi dan Muntakhab Ahadis susunan Syaikh Muhammad Yusuf Kandhalawi

Taklim rumah yakni menghidupkan Bacaan Hadis di dalam rumah. Iaitu ambil satu waktu kumpul semua anak-anak walaupun bayi yang masih kecil dan isteri kita dan mulakan bacaan Hadis dan kisah-kisah Nabi s.a.w bersama Para Sahabat Baginda. Kesan daripada Taklim rumah yang istiqomah insyaAllah, ALLAH akan keluarkan Maksiat yang ada di dalam rumah kita hingga semunya keluar rumah. Menghapuskan segala majlis lalai yang ada di dalam rumah kita.

Kadangkala kita tidak sedar maksiat berlaku di dalam rumah kita tanpa pengetahuan kita. Anak-anak tidur di bilik mereka perlu diawasi. Mungkin kita melihat anak-anak kita sudah baik, Alhamdulillah dari segi pakaian luaran mereka. Contohnya, kalau anak-anak perempuan dengan niqab, purdah dan tudung labuh apabila mereka keluar rumah. Tetapi kita tidak tahu bila kita tidur, mereka di bilik-bilik mereka tidur lewat malam sampai jam 3-4 pagi bermesej dengan lelaki yang bukan mahram.

Apa yang lebih malang lagi bermesej dengan suami orang. Melayan perasaan yang sedang dipandu nafsu syahwat. Tanpa sedar dia sedang melangkah mendekati pintu zina yang ALLAH telah Larang dengan mafhum Firman-Nya; "Jangan hampiri Zina..." sedangkan itu maksiat yang mereka merasakan tidak salah dan mereka rasa tidak berdosa dengan menganggapnya itu perkara biasa dan akhirnya mereka tidak akan taubat sebab mereka tidak rasa itu dosa. Syaitan tipu dalam merosakkan anak-anak di dalam rumah kita sendiri walaupun kita telah berusaha menjaga anak perempuan kita dari pengaruh luar.

Begitu juga anak-anak lelaki kita. Kita tidak tahu di dalam hp mereka apa yang mereka simpan. Waktu malam mereka juga tidur di bilik mereka dan kita pun tak tahu apa yang mereka buat. Jadi dengan kita menghidupkan Taklim Rumah bacaan hadis dengan mencari satu waktu yang sesuai untuk kumpul semua anak-anak dan isteri kita dapat duduk bersama mendengar hadis secara istiqomah setiap hari.

      Baca : 7 Produk Popular Yang Pada Asalnya Dicipta Untuk Tujuan Lain

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


InsyaAllah kita sangat-sangat berharap dengan adanya Taklim Rumah, Percakapan Iman dan Muzakarah 6 Sifat Sahabat Nabi bersama anak isteri akan menjadi asbab ALLAH akan hancurkan batil dan maksiat yang ada di dalam rumah kita juga dalam diri ahli keluarga kita. Semoga keluarga kita hidup bahagia dengan kasih sayang kerana Allah s.w.t seperti keluarga Para Sahabat Nabi s.a.w. Amin.

- Daku Amat

Tags : taklim bacaan hadis keluarga sakinah muzakarah percakapan iman dan amal
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: