10 Maklumat Dan Tanda-tanda Penagihan Syabu Yang Anda Perlu Tahu


Syabu adalah dadah yang popular masa kini. Ianya membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga mereka boleh bertindak agresif untuk mendapatkannya. Paling geram, tokan-tokan syabu ini ada yang sengaja memujuk mangsa mencubanya untuk pertama kalinya secara percuma agar mereka ketagihan dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan dari negara kita. Harganya yang mahal (100 miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, merompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai dadah syabu untuk mengenal pasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Berikut 10 maklumat mengenai dadah syabu yang anda perlu tahu :

1. Nama-nama syabu yang lain

Syabu juga dikenali sebagai; "speed", "meth", "chalk" dan "china white". Syabu yang dihisap secara 'chasing the dragon' disebut sebagai "ice", "crystal", "crank" dan "glass". Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya serta mempunyai rasa yang pahit.

2. Cara syabu disalahgunakan

Syabu, seperti Ecstacy, dilaporkan disalahgunakan oleh remaja selalunya di pesta-pesta liar, di pesta tari-menari, di kelab malam, disko, tempat karaoke dan lain-lain tempat hiburan untuk menaikkan mood seseorang dan daya ketahanan fizikal. Syabu boleh didapati dalam berbagai-bagai bentuk dan boleh digunakan secara suntikan, dihisap secara merokok, ditelan atau disedut melalui hidung.

Penggunaan secara suntikan atau dihisap secara 'chasing the dragon' mendatangkan kesan segera keseronokan. Penggunaan secara disedut melalui hidung memberikan kesan dalam 3-5 minit sementara jika ditelan kesannya diperolehi selepas 15-20 minit. Kedua-dua cara pengambilan dadah jenis ini iaitu dengan cara disedut atau dimakan akan menghasilkan euphoria - mengkhayalkan tetapi tidak dengan kesan segera. Kesan dadah ini akan bertahan sehingga 4 -24 jam.

Ketagihan - daripada rasa ceria 'euphoria' bertukar kepada resah 'kong'

Kesan toleran ke atas dadah ini terjadi dengan cepat, iaitu kesan seronok akibat dadah ini lenyap sebelum kandungan dadah berkurangan dalam darah oleh itu penggunanya akan cuba meneruskan kesan khayal dengan penggunaan dadah ini secara berulangkali (dikenali sebagai bingeing). Walaubagaimanapun, setiap episod kekhayalan ini semakin kurang keseronokannya dan lebih banyak syabu diperlukan untuk mencapai kekhayalan.

Pengguna dadah ini yang dahulunya memakan atau menyedut dadah ini akan bertukar kepada menghisap atau menyuntik dadah ini untuk mendapatkan kesan seronok yang lebih dan cepat. Kesan khayal dan keseronokan ini dipercayai akibat pengeluaran dopamine iaitu penghantar neuro di otak yang mengawal perasaan seronok atau gembira.

3. Kesan segera syabu

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa euphoria iaitu rasa gembira dan menyeronokkan, rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera makan.

Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala. Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas. Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

4. Tanda awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu atau nama kimianya Methamphetamine ialah self-confident yang tinggi. Mereka akan menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal mereka pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda. Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka. Namun ianya hanya untuk seketika.

5. Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu

Di jalanan orang gelar sebagai 'kong' di mana mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata. Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang dia akan mengetap gigi, ada sesetengah akan basuh muka kerapkali, ada sesetengah mengesat-ngesat mata dan muka. Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat 'kong' ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba. Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.


6. Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur. Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat. Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

7. Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh. Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Di antara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ini boleh jadi gila terus.

Harga syabu cukup mahal - 100 miligram lebih kurang RM50 ke RM70

8. Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ini sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali. Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan kaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini. Pada ketika inilah anda boleh lihat bomoh dan pawang-pawang di luar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

9. Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang lewat tengah malam atau awal pagi dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu. Contohnya antara empat ke lima hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, itu kena bagi 'extra care' lah nampak gayanya. Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

10. Salah sangka dikalangan ibu bapa

Bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka. Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar. Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru). Namun kalau sudah extreme tu susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok atau hantar mereka keluar dari daerah atau ke luar negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka. Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang. Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lamanya yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

      Baca : 6 Makna Kesihatan Wanita Mengikut Jenis Warna Darah Haid

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya di bawah Seksyen 12. Sesiapa yang didapati mengimport, mengeksport atau memiliki Methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah telah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman. Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: