11 Tip Sebelum Anda Menziarahi Orang Sakit


Amalan menziarahi orang yang sedang sakit adalah sangat dituntut, namun sebagai pelawat yang datang melawat kita kenalah tahu adab-adab semasa melawat. Tujuan kita melawat mestilah nak tengok pesakit itu cepat sembuh dan bukannya bertambah sakit.

Adab-adab ini tidak semestinya kena ajar di rumah atau di sekolah, tetapi kita boleh berfikir sendiri menggunakan akal yang bijaksana. Gunakan logical thinking, patut atau tak patut segala kelakuan dan sikap anda semasa melawat orang sakit itu.

Berikut 11 tip sebelum anda menziarahi orang sakit :

1. Hubungi dahulu pesakit atau ahli keluarga, maklumkan anda mahu datang ziarah


Ini sama macam adab nak pergi mengunjungi rumah orang. Maklumkanlah terlebih dahulu sebelum menziarahi kerana anda tidak tahu bagaimana jadual dia di hospital ataupun adakah dia perlukan sedikit masa untuk berehat tanpa kehadiran pelawat. Jangan main terjah saja.

Jika pesakit terlantar di rumah pun sama. Harap maklumkan dulu kerana pasangan atau ahli keluarga yang menjaga pesakit itu juga punya life tersendiri. Fahamilah bahawa si penjaga itu juga perlu rehat atau keluar sebentar untuk menguruskan hal peribadi.

2. Jangan datang pada waktu-waktu pesakit berehat


Elakkan menziarahi pada waktu makan dan waktu berehat seperti tengah hari dan malam selepas Isyak. Memanglah anda datang seorang diri atau berdua saja, tetapi bukan anda saja yang datang melawat. Cuba bayangkan kalau ada 10-15 kali orang datang melawat tanpa henti, bilakah masa si pesakit dan penjaga dapat berehat?

3. Padamkan telefon atau tetapkan ke silent mode


Ini sering terjadi di wad dengan penghuni yang ramai. Pesakit katil no. 1 tak ada pelawat, dia baru nak melelapkan mata tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi nada dering lagu Aiman Tino versi disko dangdut oleh pelawat di katil no. 2.

Sama juga ketika anda menziarahi seorang ibu yang baru lepas melahirkan. Padamlah telefon itu, anak dia nak tidur pun susah, asyik terkejut dengar bunyi handphone anda yang tidak henti-henti notification masuk.

4. Jangan datang membawa rombongan satu bas


Kalau boleh elakkanlah datang beramai-ramai memenuhi segenap ruang sampai pesakit rasa sesak nafas. Apatah lagi kalau pesakit berada di wad kelas ketiga hospital kerajaan yang sedikit sempit ruangnya. Kalau anda datang konvoi 5 biji kereta, lepas itu masuk ramai-ramai sembang duduk keliling katil, pesakit lain di situ tak rasa terganggu ke?

Kalau sudah memang datang ramai sangat, masuklah secara bergilir-gilir. Anda bukan hanya perlu hormati pesakit yang anda nak lawat, malah anda perlu juga hormati para doktor, nurse dan semua pesakit lain di situ.

Sekiranya anda ramai-ramai datang melawat pesakit di rumah, mohon bantu untuk menyediakan juadah dan mencuci pinggan mangkuk setelah tuan rumah menghidangkan air dan kuih untuk anda. Cuba kira kalau sehari ada 7-8 buah keluarga yang datang menziarah. Si penjaga itu memang masak, buat air dan cuci pinggan sajalah tidak henti-henti. Nak menjaga pesakit lagi. Anda pula datang sedap saja duduk makan, minum, gelak-gelak kepas itu balik.

5. Elakkan duduk lama-lama untuk berbual kosong


Kalau setakat datang nak borak-borak kosong gossip artis, lebih elok anda balik sajalah melainkan orang yang anda ziarahi itu duduk di wad single patient dan mempunyai sakit yang tidak begitu kronik.

Kalau pesakit itu duduk di bilik multiple occupancy, mohon hormati pesakit-pesakit lain dalam bilik yang sama. Wad hospital bukanlah tempat yang sesuai untuk sesi catch up bersama keluarga atau rakan-rakan. Pesakit pula memerlukan rehat yang secukupnya. Jadi, lepas sudah tanya khabar, sembang sikit-sikit, mintalah diri untuk beransur pulang. Harap jangan buat meriah sangat ya!

6. Buat kajian sebelum datang dan bawalah buah tangan yang sesuai


Kenal pasti dahulu apa yang pesakit boleh makan dan bawalah makanan yang bersesuaian. Kalau pesakit baru selesai menjalani pembedahan tonsil, janganlah bawa satu bucket ayam KFC hot & spicy pula.

Buah dalam bakul pula memang nampak cantik dihiasi dengan bunga berwarna-warni. Tetapi pernahkah anda terfikir siapa pula yang nak jadi tukang kupas di situ? Adakah anda beli buah tangan itu untuk pesakit, penjaga ataupun pelawat? Ada juga jenis pelawat yang sanggup makan sendiri buah tangan yang dibawa.

7. Elakkan membawa anak kecil


Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali anak anda sama ada mereka jenis yang suka menjerit-jerit, bergaduh ataupun gemar berlari ke sana-sini. Kalau ada anak-anak yang begini, kalau boleh elakkan bawa bersama. Kesian pada pesakit.

8. Jangan duduk di katil sebelah yang tidak bertuan


Ini adalah perkara common sense. Orang yang tidak sensitif saja senang-senang nak duduk di katil sebelah yang tidak berpenghuni. Anda ingat jururawat hospital di situ tak ada kerja lain?

Dan agaknyalah, apa perasaan anda seandainya anda merupakan seorang pesakit yang baru nak admit. Anda masuk-masuk saja wad terus nampak katil penuh bekas Twisties perisa kari, ada kesan air tumpah atau cadar katil berkedut-kedut? Anda rasa nak marah ke tak? Anda nak marah siapa? Jadi, sebagai pelawat, tolonglah jangan jadi selfish dengan menambah beban kerja jururawat.

9. Jangan bercerita pengalaman buruk atau berkaitkan dengan kematian


Semasa berborak, elakkan bercerita pengalaman pesakit lain yang anda kenali tetapi telah meninggal dunia ataupun menjadi semakin uzur. Ini boleh mematahkan semangat pesakit dan membuatkan mereka merasa sedih. Ceritalah perkara yang positif dan boleh membantu pesakit secara mental agar mereka terus tabah.

10. Jangan guna tandas pesakit


Ini pun sama common sense. Andai kata anda melawat wad yang ramai penghuni tetapi tandas cuma ada satu atau dua sahaja, silalah keluar sebentar dan cari tandas lain yang dikhaskan untuk orang awam.

Kita tidak tahu pesakit di situ tiba-tiba nak muntah ke, nak tercirit ke ataupun tak tahan nak buang air kecil. Kalau pelawat ramai-ramai datang memenuhi tandas, pesakit-pesakit ini nak lari cari tandas di mana? Maka, mohon bertimbang rasalah.

11. Berdoa untuknya dan berilah kata-kata semangat


Tip ini sudah sememangnya adab sebagai orang Islam. Sentiasa doakan kesihatan pesakit, ucapkan kata-kata yang baik dan beri motivasi agar pesakit cepat sembuh.

Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w di bawah ini agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;


1. “Ya Allah! Tuhan bagi manusia, hilangkanlah segala penyakit, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit lagi.” (HR. Bukhari dan Muslim)

2. "Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (tujuh Kali). (HR. At-Tirmizi dan Abu Daud)

3. “Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya Allah”. (HR Bukhari)
      Baca : 4 Tanda Baca Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mula Menulis

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga. Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran besar.

- Daku Amat

Tags : sakit hospital adab ziarah orang sakit sembuh masuk hospital buah tangan nurse melawat orang sakit pesakit doa untuk orang sakit sembuh dari penyakit motivasi
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: