7 Tip Mudah Hilangkan Bau Rokok Dalam Kereta


Suami anda suka merokok dalam kereta dan anda tidak tahan dengan bau asap yang tinggal? Ataupun anda merupakan seorang perokok dan isteri selalu berleter kereta berbau busuk? Anda sudah letak pewangi dan sembur air freshener tapi lagi pening jadinya sebab bau bercampur-campur. Ini disebabkan asap telah diserap ke dalam kerusi fabrik dan kulit yang membuatkan bau rokok itu susah hendak hilang.

Kadang-kadang perokok sendiri pun tidak tahan dengan bau kereta, apatah lagi orang lain yang menjadi penumpang. Cubalah beberapa tip penyahbau DIY ini untuk menghilangkan bau 'kepam' asap rokok dalam kereta. Namun perlu diingatkan, ada kereta yang sudah bau serupa azab yang amat, jadi cara-cara ini mungkin akan memakan sedikit masa. Sebelum kita mulakan, pastikan anda buang terlebih dahulu dan bersihkan segala puntung rokok yang ada dalam kereta.

Berikut 7 tip mudah menghilangkan bau rokok dalam kereta :

1. Serbuk kopi

Letakkan semangkuk serbuk kopi di dalam kereta. Biarkan semalaman dengan tingkap bertutup dan serbuk kopi ini akan menyerap bau asap rokok. Anda akan bau wangi aroma kopi semasa dalam perjalanan nak ke pejabat berbanding bau kepam asap rokok. Ulang dan gantikan serbuk kopi ini beberapa kali sehingga bau rokok betul-betul hilang.

2. Cuka

Ini petua tradisional yang memang sering digunakan oleh orang tua-tua. Tuangkan cuka ke dalam sebuah gelas atau mangkuk dan letakkan di bahagian di tengah-tengah kereta. Biarkan semalaman dan cuka akan menghilangkan bau asap rokok dalam kereta anda. Kalau nak dapatkan bau yang lebih segar, boleh perahkan sedikit lemon ke dalam larutan.

3. Kayu Manis

Sekiranya anda nak menggantikan bau busuk asap itu dengan bau yang lebih manis, cubalah gunakan kulit kayu manis. Rebus 2-3 batang kulit kayu manis dan tuangkan air rebusan ke dalam satu cawan. Letakkan cawan berisi air rebusan itu di dalam kereta dengan tingkap bertutup sehingga suhu airnya menurun kepada suhu bilik.

4. Arang

Ada sesetengah orang tidak suka menambah bau wangi untuk menutupi bau busuk. Sekiranya anda mahukan bau yang neutral, gunakan ketulan arang. Simpan satu beg kecil berisi arang di bahagian belakang tempat letak kaki. Arang memang terkenal sebagai 'ejen' penyerap bau. Jangan buang pula arang itu lepas digunakan, anda boleh sambung buat BBQ pula pada malam hari.

5. Surat khabar

Kadang-kadang anda tidak merokok pun. Anda tumpangkan seorang kawan, tiba-tiba dia nyalakan api. Nak tegur, takut sentap sampai putus hubungan silaturahim. Walaupun dia sudah turunkan tingkap kereta, namun anda tidak tahan dengan bau asap peninggalan kawan anda itu. Rileks, merokok sekali dua taklah membuatkan kereta anda bau kepam teruk sangat. Anda cuma perlu renyukkan beberapa keping surat khabar dan biarkan semalaman di dalam kereta untuk menyerap bau itu.

6. Pasir kumbahan kucing

Anda ada membela kucing? Pasir kumbahan kucing sebenarnya baik untuk menyerap bau. Ambil sedikit pasir yang belum digunakan dan letak ke dalam sebuah mangkuk. Biarkan mangkuk itu di dalam kereta sehingga bau asap meresap ke dalam pasir kumbahan. Sebagai bonus, pasir kumbahan ini akan mengelakkan tingkap kereta anda menjadi berkabus pada waktu pagi atau selepas hujan! Lepas bau kereta sudah hilang, anda masih boleh gunakan semula pasir ini untuk kucing comel anda.

7. Kulit buah-buahan sitrus

Kalau anda penggemar bau sitrus, anda boleh kitar semula kulit buah-buahan tersebut. Kupas kulit buah oren, lemon, limau nipis atau apa sahaja buah sitrus kegemaran anda dan kumpulkan kulit ini dalam sebuah cawan. Tinggalkan cawan berisi kulit sitrus ini di dalam kereta untuk menyerap segala bau-bauan kurang enak. Pada masa yang sama, kereta pun akan berbau wangi.

      Baca : 14 Petua Supaya Dihindari Sakit Tua

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Anda tidak perlu berhabis duit membeli produk-produk mahal atau menghantar cuci sampai kena tanggalkan sarung kusyen kereta. Gunakanlah segala sumber dan bahan semula jadi yang ada di rumah untuk menyingkirkan bau kurang enak dalam kereta anda.

Lagipun, anda juga menjadi seorang pencinta alam yang "hijau" dengan menggunakan semula bahan-bahan terbuang seperti kulit sitrus dan surat khabar. Apapun, sebenarnya paling baik adalah sekiranya anda boleh menghormati orang lain (terutamanya keluarga) dengan tidak merokok dalam kereta.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: