7 Perkara Suami Boleh Tolong Isteri Yang Sedang Mabuk Mengandung

Mabuk hamil memang sukar dijangka. Hanya ibu hamil yang mengalami sahaja tahu bagaimana rasanya. Sepanjang mengalaminya, bakal ibu memang akan menjadi seperti orang lain. Langsung tidak boleh buat sebarang kerja rumah seperti biasa.

Muntah, hilang selera makan, pening kepala serta mudah rasa penat dan mengantuk. Malah lebih teruk tidak boleh masuk dapur apatah lagi untuk memasak. Bayangkan jika yang mengalami mabuk mengandung adalah ibu hamil yang mempunyai anak lain masih kecil. Tentu hura-hara urusan rumah tangga jadinya.


Ketika inilah, suami perlu memainkan peranan penting membantu menguruskan keluarga dan rumah tangga. Mereka yang bergelar suami, jangan pula buat-buat terkejut dengan perubahan itu dan menuduh isteri kononnya mengada-ngada.

Andalah yang mesti menggalas tanggungjawab menguruskan segala kerja rumah dan anak-anak. Membantu meringankan bebanan isteri yang tidak sihat. Bukannya lama, biasa tiga bulan sahaja!

Berikut 7 perkara suami boleh tolong isteri yang sedang mabuk mengandung :

1. Bahagikan masa

Sebagai suami yang bekerja sepenuh masa tentu sahaja masa anda terhad di rumah. Jadi bahagikan masa sebaiknya untuk pengurusan urusan kerja rumah dan anak-anak. Anda yang lebih memahami cara pengurusan masa anda di rumah.

2. Mencuci pakaian

Biasakan untuk terus mencuci pakaian anda sekeluarga setiap hari selepas pulang dari kerja. Periksa segala pakaian kotor yang ada di dalam rumah untuk memastikan tiada yang tertinggal. Sebaik selesai proses mencuci pakaian dalam mesin basuh, jangan bertangguh untuk menyidai pakaian tersebut. Selesai satu tugasan!

3. Menyediakan makanan

Jika anda mahir memasak, gunakanlah bakat yang ada untuk menyediakan makanan sekeluarga. Tak perlu masak menu yang mengambil masa lama, cukup menyediakan makanan yang mudah, ringkas tetapi berkhasiat sesuai dimakan oleh anda sekeluarga.

4. Mengurus anak

Bagi yang mempunyai beberapa orang anak, memang akan terasa cabaran menguruskan anak-anak apatah lagi jika semuanya masih di bawah usia enam tahun. Bersabar menghadapi karenah mereka.

Disiplin dan tegas semasa menguruskan anak-anak, InshaAllah dipermudahkan. Biasanya untuk anak-anak di bawah usia enam tahun, anda perlu peka terhadap urusan menukar lampin pakai buang, menyediakan susu dan masa tidur mereka.

5. Menyiapkan kelengkapan anak

Sekiranya menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, anda perlu menyiapkan keperluan anak untuk keesokan hari seperti pakaian, makanan, lampin pakai buang dan bekalan lain yang sepatutnya.

6. Membersihkan rumah

Tugas membersihkan rumah seperti menyapu lantai (guna sahaja penyedut hampagas kerana lebih cepat), mengemop lantai, mengemas dapur, bilik dan alat permainan anak seeloknya dibuat pada waktu malam selepas anak-anak masuk tidur. Bimbang sekiranya anda mengemas ketika mereka masih aktif, habis bersepah semula rumah anda.

7. Membeli barangan keperluan rumah

Mungkin sebelum ini urusan membeli barangan keperluan rumah dilakukan oleh isteri tetapi bila isteri tak sihat, dia pun tak mampu untuk mengambil tahu urusan tersebut. Takkan nak biarkan barangan keperluan rumah langsung tiada. Jadi anda perlu mengambil alih tugas tersebut.

Jika ia kali pertama dilakukan, lebih baik buat senarai barangan yang hendak dibeli. Dapatkan maklumat tersebut daripada isteri anda termasuk pasaraya yang biasa dia pergi. Jadi, lebih mudah untuk anda mencari barangan yang diperlukan.

      Baca : 6 Perubahan Yang Suami Alami Ketika Isteri Sedang Mengandung

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Apa yang penting kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada isteri tatkala dia sedang mengalami situasi tidak sihat. Siapa lagi yang patut menjadi 'penyokong' kuat isteri kalau bukan suami sendiri.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: