4 Mentaliti Seorang Penagih Bahan Pornografi

Dunia tanpa sempadan menjadi kayu ukur kepada sesebuah negara yang ingin mengecapi kejayaan dari sudut intelektual dan pembangunan pemodenan semasa. Maklumat di hujung jari mampu menggerakkan manusia terus melayari dan menerobos dunia tanpa mengira waktu dan di mana sahaja kita berada.

Kuasa internet ini tidak mengenal usia dan peringkat umur. Hal ini menyebabkan manusia sering bergantung dengan dunia internet bagi memenuhi ruang fizikal dan psikologi. Maka ketagihan terhadap alam maya tidak dapat dibendung lagi.

Isu pornografi, merupakan isu yang bersangkut paut dengan alam maya. Virus ini tidak mengenal usia dan pangkat atau gelaran. Semakin hari isu ini semakin serius di kalangan rakyat Malaysia. Ramai menyangkakan, isu ini merupakan ‘personal’ atau bersifat peribadi, namun begitu jika dibiarkan maka kerosakkan akan berlaku dalam kalangan masyarakat yang kian lama tenggelam dalam arus dunia tanpa sempadan ini.


Pornografi, merupakan bahan yang mudah untuk diperolehi. Zaman kini, telefon pintar boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Statistik menunjukkan pada tahun 2001 dianggarkan sebanyak 70,000 hingga 74,000 laman pornografi wujud di internet. Pada tahun 2002, Websense telah mengeluarkan catatannya peningkatan laman sesawang pornografi sehingga 88,000 dan hampir mencecah 1.6 juta laman pornografi pada tahun 2004.

Terbaru, family safe telah merekodkan sebanyak 4.2 juta laman sesawang pornografi dan telah mendominasi 12% jumlah laman sesawang di internet . Hasil carian ini sedikit sebanyak membuka mata kita menyedari kehadiran sesuatu yang tidak sihat dan mampu memberi impak yang buruk kepada diri kita, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Dalam Persidangan Ketagihan Nikotin ‘Berhenti Merokok di Malaysia’ pada tahun 2015, dilaporkan sejumlah 20,000 rakyat Malaysia, meninggal dunia setiap tahun akibat tabiat merokok. Jelas di sini, permasalahan rokok kita dapat melihat secara zahirnya. Namun tidak pula pada ketagihan pornografi.

Ketagihan pornografi hanya dapat disedari oleh si pelakunya sahaja. Amat susah seseorang itu kita hendak kategorikannya sebagai seorang penagih pornografi.

Berikut 4 mentaliti seorang penagih bahan pornografi :

1. Anggap normal bahan pornografi

Seseorang yang mengalami ketagihan pornografi, pada mulanya akan merasakan kurang selesa dengan aktiviti pengembaraan pornografinya. Namun lama-kelamaan akan timbul keselesaan dan mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan bersama ketagihan ini.

Hal ini membuatkan penagih akan mencari dan terus mencari bahan pornografi dan menganggap perkara ini normal. Sikap normal terhadap ketagihan pornografi ini akan membawa penagihnya mencari dan melayari sumber pornografi yang lebih keterlaluan demi mencapai kepuasan diri.

2. Toleransi terhadap bahan pornografi

Individu yang terjebak dengan ketagihan bahan pornografi sebenarnya telah bertoleransi dengan bahan yang mereka gemari. Walaupun, individu ini sedia maklum mengenai keburukan pornografi, namun mereka tetap ingin berdamping dek kerana keseronokan dan kepuasan diri yang sementara.

Perasaan ini berlaku kerana telah ada sikap kebiasaan atau normal yang akhirnya perasaan toleransi terhadap pornografi ini bercambah walaupun virus ini telah menghancurkan kecerdasan fizikal, intelektual, emosi dan juga rohani.

Impaknya, pada peringkat awal penglibatan individu dalam kancah pornografi, mereka telah menemui pornografi jenis lembut atau softcore porn seperti video atau imej wanita seksi. Lama-kelamaan, keperluan biologi semakin meningkat dan mendesak diri penagih beralih kepada hardcore porn bagi memuaskan nafsu mereka. Tahap teruk lagi, penagih pornografi ini akan mencari mangsanya. Ini dinamakan acting out di dalam tahap ketagihan.

Kronik - tahap teruk, penagih pornografi akan mencari mangsanya

3. Nafi ketagihan bahan pornografi

Penafian merupakan senjata utama bagi seseorang penagih bahan pornografi untuk menyatakan diri mereka sebenarnya di dalam ketagihan dan memerlukan rawatan.

“owh, saya tak ketagih pornografi."

“Pornografi? tak ada la. Saya tengok gitu-gitu jer."

“saya tengok suka-suka jer. Tak ada la sampai ketagih."

Sebenarnya, penagih pornografi tidak bermaksud begitu. Apa yang mereka ingin nyatakan ialah;

“Aku boleh jer kawal ketagihan ini.”

Situasi ini sebenarnya merupakan bayangan atau angan-angan mereka sahaja. Cuma nak sedapkan hati sahaja. Hakikatnya, penagih pornografi ini akan terus mengembara melayari dunia pornografi ini kerana mereka telah rasa biasa dan boleh bertoleransi dengan apa jua keadaan dan situasi.

4. Lemah dalam semua aspek kehidupan

Mentaliti individu yang mengalami ketagihan pornografi akan menyebabkan mereka lemah dalam semua aspek kehidupan. Kelemahan ini dapat dikesan daripada pengamalan hidup mereka seharian.

Individu yang mengalami ketagihan pornografi akan menyebabkan otaknya lemah di dalam menjana buah fikiran yang baik. Setelah itu, mereka akan mengalami gangguan emosi yang keterlaluan dan akan membawa kepada rendah keyakinan diri. Akhirnya, fizikal si penagih pornografi akan lesu dan tidak bermaya. Hal ini boleh dilihat dari sudut pencapaian kerjayanya atau aktivitinya.

mentaliti ketagihan pornografi ini hanya boleh dirasai oleh individu yang telah terjebak dengan "virus" ketagihan pornografi. Teman rapat atau ahli keluarga tidak berupaya mengesan akannya sekiranya tiada hubungan rapat dengan penagih pornografi.

      Baca : 5 Dorongan Ini Perlu Suami Lakukan Sebelum Dan Selepas Isteri Bersalin

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Dekati penagih mengikut tahap atau aras pemikiran mereka. Bahasa badan, pemilihan kata-kata dan gaya bahasa memainkan peranan yang penting di dalam menyampaikan mesej kesedaran. Kesannya, mereka yang telah mengalami ketagihan pornografi ini akan mudah meluahkan segala apa yang mereka lalui.

Maka dari situ, kita dapat mengenal pasti sedikit sebanyak tentang mentaliti penagih virus pornografi ini. Secara tidak langsung khidmat bimbingan dan kaunseling dapat diberikan mengikut kesesuaian individu yang ketagih dengan virus pornografi.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: